Friday
Dari Pintu Dapur
Walaupun sentiasa sibuk di dapur di mana kerja bersambung-sambung demi memastikan operasi bisnes kami yang kecil-kecilan ini berjalan lancar, namun hati selalu lapang bila mata sesekali mencuri pandang ke luar sana.
Kedudukan pintu dapur yang mengadap laman kecil di laluan tepi rumah, membuat diri sering ceria takkala mata menggamit kehijauan rumput mutiara dan kesuburan ulam-ulaman seperti pegaga, cekur, cekur manis dan daun kesum.
Angin yang bertiup lembut kadangkala menempiaskan kewangian aroma pohon kari, limau purut, lemon dan limau nipis semasa sedang melakukan kerja2 memasak di dapur.
Pohon anggur suami pula makin subur dan mula belajar melilit dawai serta tali rafia yang dibuat sebagai para-para.
Namun lain ceritanya dengan orkid yang saya alih sebahagiannya dari rumah orkid yang ternyata kurang serasi berada di bawah separa lindungan bumbung dapur kami. Walaupun dibubuh baja sebulan sekali tapi kelihatannya tidak galak berbunga berbanding semasa berada di bawah rumah orkid sebelum ini. Redup sangat agaknya.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum